Wednesday, December 16, 2009

HIJRAH SATU PERUBAHAN





Dalam memperkatakan hijrah adalah dirasakan perlu lebih dahulu diterangkan pengertiannya, pendorong dan matlamatnya dan ditinjau daripada natijah dan rahsianya. Hijrah pada umumnya ialah perpindahan dari suatu tempat ke suatu tempat dan pengubahan dari suatu keadaan kepada keadaan yang lain. Ini merangkumi perpindahan dan perubahan fizikal dan juga spiritual. Hijrah boleh dibahagikan kepada tiga, sekalipun berlainan masa, tempat dan keadaan tetapi kesemuanya mempunyai pendorong dan tujuan yang sama

i. Hijrah Rasulullah s.a.w dari Makkah ke Yathrib
ii. Hijrah Umat.
iii. Hijrah Hati.


i. Hijrah Rasulullah s.a.w dari Makkah ke Yathrib

Hijrah Rasulullah s.a.w dan para sahabatnya dari Kota Makkah ke Yathrib berlaku pada tahun 622 M, tujuannya ialah melarikan dan menyelamatkan aqidah,meluaskan medan penyebaran dakwah dan membangunkan pemerintahan yang berteraskan nilai-nilai tauhid dan kemanusiaan. Hijrah ini telah berakhir dengan pembukaan semula negeri Makkah pada tahun 630 M .
(tiada hijrah selepas pembukaan Makkah )


ii. Hijrah Umat.

Hijrah ini ialah perpindahan umat Islam dari mana-mana negeri/negara yang di dalamnya aqidah tertindas kepada mana-mana bumi Allah s.w.t kerana melarikan dan menyelamatkan aqidah. Pintu hijrah seperti ini belum tertutup dan tidak akan tertutup hingga Hari Qiamat selagi penekanan dan kezaliman berlaku ke atas umat Islam yang memaksa mereka berpindah bagi menyelamatkan dan memelihara aqidah.

Hijrah ini dari aspek aspek yang sama dengan hijrah Rasulullah s.a.w dari Makkah ke Yathrib itu, iaitu berpindah daripada bumi yang penuh penindasan dan kezaliman ke atas aqidah dan penganut-penganutnya ke tempat yang lebih selamat bagi menyelamatkan aqidah dan memelihara kehormatan penganut-penganutnya. Mereka dapat melakukan ibadah kepada Allah s.w.t dan melaksanakan segala tuntutan aqidah secara bebas dan terpelihara. Hijrah bentuk ini terbuka terus kepada umat Islam selagi pemerintahan di dalam sesebuah negeri/negara di mana umat Islam itu berada berlaku zalim, menolak ketentuan dan hukum-hukum Allah, sedang umat Islam berada dalam keadaan tidak mempunyai kekuatan, bertahan atau melawan. Dalam keadaan seperti ini berpindah ke suatu tempat lain yang selamat adalah wajib ke atas setiap umat Islam kecuali yang daif dan sakit.

Firman Allah swt:

Terjemahan;

“ Sesungguhnya orang yang diwafatkan malaikat di dalam keadaan menganiayai diri sendiri, (kepada mereka) malaikat bertanya : Dalam keadaan bagaimanakah kamu ini?. Mereka menjawab : Adalah kami orang-orang yang tertindas di negeri (Makkah). Para malaikat berkata : Bukankah bumi Allah luas, sehingga kamu dapat berhijrah di bumi itu?. Orang-orang itu tempatnya neraka Jahanam dan Jahanam itu seburuk-buruk tempat kembali. Kecuali mereka yang tertindas baik lelaki maupun wanita ataupun kanak-kanak yang tidak mampu berdaya upaya dan tidak mengetahui jalan (untuk hijrah). Mereka itu mudah-mudahan Allah memaafkannya. Dan Allah Maha Pemaaf lagi Maha Pengampun. “
(Surah an Nisaa’ : 97 – 99 )


iii. Hijrah Hati.

Hijrah ini adalah pemindahan jiwa kepada yang baik, pengubahan hati yang suci dan pengalihan hati kepada kebenaran . Hijrah bentuk ini tidak kurang mulianya dari hijrah bentuk pertama dan kedua di atas. Ia merupakan penerusan terhadap ikatan janji di antara seorang hamba dengan Allah penciptanya. Agar ia hidup sentiasa di dalam keadaan bersih dan memiliki sifat-sifat yang terpuji sebagai pernyataan tepat dari aqidah keimanannya.

Ini ialah hijrah kejiwaan di mana jiwa seseorang menerusi anak-anak tangga kebersihan dan kesucian jiwanya naik ke sisi Tuhannya. Menjalani kehidupan di dalam keadaan suci dan mulia.

Hijrah Rasulullah s.a.w dan sahabat-sahabatnya dari Makkah ke Yathrib itu walaupun nampak sebagai perpindahan jasmani, tetapi ia juga mengandungi nilai-nilai perpindahan hati dan jiwa kepada kesucian, keikhlasan, keadilan dan kebenaran.

Hijrah dalam semua bentuknya adalah merupakan pernyataan tepat dari aqidah yang tertanam di dalam jiwa seseorang mukmin. Tujuannya untuk mendapatkan suasana bersih lagi selesa bagi membolehkannya hidup berpegang kepada aqidahnya dan bebas melakukan ibadah kepada Tuhannya, jauh dari segala rupa keburukan dan kejahatan.

Konsep hijrah pada umumnya adalah merupakan satu revolusi yang berterusan di dalam kehidupan seseorang mukmin yang bertujuan menolak segala bentuk tekanan, kezaliman dan kejahatan dan tidak bersedia untuk tunduk di bawah kuasa dan kekuasaan yang mencabar aqidah dan kehormatan diri serta agama.

Oleh: Abu Ahmad sg2

No comments: